Wednesday, July 10, 2013
Tuesday, July 9, 2013
Elemen Landskap 'Cahaya'
ELEMEN LANDSKAP ‘CAHAYA’
Elemen landskap memainkan peranan yang besar didalam memberikan
nilai dan makna kepada satu komposisi landskap. Tanpanya landskap akan menjadi
pudar dan kelam. Naratif landskap akan menjadi lebih menarik bila komposisi
landskap disulami dengan elemen landskap. Pepohonan hijau sendiri akan lebih menyerlah
dengan kehadiran elemen landskap hasil dari nlai kontras antara keduanya. Tekstur
yang berbeza, warna yang berlawanan, bentuk yang bertentangan, semuanya
menghasilkan nilai kontra yang provokatif tapi saling melengkapi. Ia bukan saja
memberi wajah yang segar tetapi lebih daripada itu memberikan makna, watak dan
nilai terhadap komposisi landskap tersebut.
ARCA
Kala melangkah ke ruang anjung, pandangan akan terpaut pada
sebuah arca yang berdiri kaku disudut pintu utama. Watak yang penuh gagah dan
bertenaga dengan warna jingga yang provokatif menyambut tetamu diruang hadapan
umpama memberi kata ucap “selamat datang’. Posisi arca pada bahagian kanan
anjung memberikan nilai santun dan luhur.
Berpaksikan bentuk geometri ‘quadrilateral’, arca tersebut
terhasil dari gabungan dan cantuman rhombus, trapezoid dan parallelogram. Gabungan
bentuk-bentuk tersebut membentuk satu komposisi yang santun dan anggun.
Keseimbangan komposisi terserlah dengan kekuatan menegak secara sendiri. Tanpa
struktur asas pada kaki dan tapaknya, ia mampu berdiri lantaran keseimbangan
komposisi yang kukuh. Teguh tetapi santun, tegap tetapi anggun. Kehadiran
rumput bamboo melembutkan ciri keteguhannya. Apatah lagi dengan calitan warna
hijau pada dedaunannya, tambah menyeimbangkan keseluruhan komposisi antara arca
dan ruangnya…
PEPOHONAN
Pohon
bunga raya yang tersusun indah pada laman terbuka dihadapan kutub khanah
membentuk satu ruang yang tersendiri. Komposisi laman yang menekankan garisan menegak
dan melintang menegaskan pernyataan ruang yang padu. Batuan putih pada lantai
taman memberikan tekstur yang melengkapi komposisi, manakala garisan intervensi
yang terbentuk oleh batuan granit bertindak sebagai paksi utama bagi memberikan
arah laluan yang tegas. Bagi memberikan nilai kejutan dan provokatif pada
komposisi taman, tiang-tiang kayu berwarna merah jambu disusun selari dengan
pepohon bunga raya. Ini juga memberikan watak dan pernyataan kontemporari. Cermin
pada bahagian dinding pagaran dan ruang makan bukan saja memberikan kesan ilusi
infiniti malah lebih daripada itu menghidupkan dimensi dan olahan ruang. Pohon
bunga raya yang penuh berkarakter dengan ciri senibina yang menebal memenuhi
pengolahan komposisi yang bertunjangkan nilai modernisma.
Pepohonan
buluh yang melatari bahagian belakang kediaman pula seakan bidai yang menyaring
dan membiaskan cahaya yang indah. Garisan menegak dahan-dahan buluh bertindak
sebagai pagaran dan memberikan ilusi ketinggian. Pabila bayu bertiup, geseran
dedaunan buluh menghasilkan desiran yang indah, laksana lagu alam yang tergubah…asyik
dan terbuai… Lataran dinding berwarna merah jambu dibelakangnya memberikan
nilai kontras pada dedahanan hijau buluh lalu membentuk komposisi yang indah
dan menyerlah.
TIMBULAN 1(hadapan
kutubkhanah)
Timbulan
ini terhasil dari gabungan bentuk empat segi tepat yang diolah untuk menjadi
satu susunan menegak yang melengkapi satu komposisi ruang antara kesidang dan
kotak besi. Penggunaan warna jingga pada kotak tersebut bukan saja memberikan
nilai kontras malah lebih daripada itu menyerlahkan ilusi 3 dimensi yang membentuk
wataknya yang kuat. Perletakannya disebelah barat kutubkhanah menyaring cahaya
mentari yang menerobos kedalam ruang. Cahaya yang tersaring oleh dedaunan
kesidang membentuk corak pada bayangan dilantai granit. Indah dan mengasyikkan.
TIMBULAN 2 (hadapan
ruang makan)
Timbulan
ini adalah berpaksikan bentuk geometri yang asas iaitu empat segi sama dan
empat segi tepat. Susunan yang menekankan garisan menegak dan melintang
memberikan satu pernyataan struktur yang kukuh. Komposisi visualnya tampak lebih
menarik bila lantunan warna bertenaga dilemparkan bagi memberi keseimbangan
estetik juga menegaskan dimensi ruang. Setiap ruang pada bentuk komposisi
diberikan nilai dan makna yang tersendiri. Pun begitu komponen ruang tersebut
diolah bagi menghasilkan penyusunan yang menyatu. Jalinan warna-warna yang
mempesona memberikan ekspresi tentang diri penghuni, bertenaga tapi melengkapi,
provokatif tapi berilusi.
PAGAR
Lukisan
abstrak Piet Mondrian menjadi inspirasi utama didalam penghasilan pintu pagar ini.
Piet Mondrian adalah salah seorang pengasas gerakan De Stijl (juga dikenali
sebagai neoplasticism). Pengaruh watak geometri yang kukuh diterjemahkan dalam
bentuk pintu pagar berplanar 3 dimensi. Karya Piet Mondrian diberi ruang dan
dimensi kedalaman untuk menghasilkan wajah planar yang lebih bertenaga.
Komposisi pagar yang dibuat dari besi ini menggabungkan ketegasan struktur
geeometri dan ilusi dimensi yang abstrak. Ilusi 3 dimensi juga kelihatan lebih menyerlah
dengan gabungan tekstur dan warna yang berpadanan.
Subscribe to:
Posts (Atom)