Tuesday, July 9, 2013

Elemen Landskap 'Cahaya'



ELEMEN LANDSKAP ‘CAHAYA’

Elemen landskap memainkan peranan yang besar didalam memberikan nilai dan makna kepada satu komposisi landskap. Tanpanya landskap akan menjadi pudar dan kelam. Naratif landskap akan menjadi lebih menarik bila komposisi landskap disulami dengan elemen landskap. Pepohonan hijau sendiri akan lebih menyerlah dengan kehadiran elemen landskap hasil dari nlai kontras antara keduanya. Tekstur yang berbeza, warna yang berlawanan, bentuk yang bertentangan, semuanya menghasilkan nilai kontra yang provokatif tapi saling melengkapi. Ia bukan saja memberi wajah yang segar tetapi lebih daripada itu memberikan makna, watak dan nilai terhadap komposisi landskap tersebut.

ARCA

Kala melangkah ke ruang anjung, pandangan akan terpaut pada sebuah arca yang berdiri kaku disudut pintu utama. Watak yang penuh gagah dan bertenaga dengan warna jingga yang provokatif menyambut tetamu diruang hadapan umpama memberi kata ucap “selamat datang’. Posisi arca pada bahagian kanan anjung memberikan nilai santun dan luhur. 





Berpaksikan bentuk geometri ‘quadrilateral’, arca tersebut terhasil dari gabungan dan cantuman rhombus, trapezoid dan parallelogram. Gabungan bentuk-bentuk tersebut membentuk satu komposisi yang santun dan anggun. Keseimbangan komposisi terserlah dengan kekuatan menegak secara sendiri. Tanpa struktur asas pada kaki dan tapaknya, ia mampu berdiri lantaran keseimbangan komposisi yang kukuh. Teguh tetapi santun, tegap tetapi anggun. Kehadiran rumput bamboo melembutkan ciri keteguhannya. Apatah lagi dengan calitan warna hijau pada dedaunannya, tambah menyeimbangkan keseluruhan komposisi antara arca dan ruangnya…



PEPOHONAN

Pohon bunga raya yang tersusun indah pada laman terbuka dihadapan kutub khanah membentuk satu ruang yang tersendiri. Komposisi laman yang menekankan garisan menegak dan melintang menegaskan pernyataan ruang yang padu. Batuan putih pada lantai taman memberikan tekstur yang melengkapi komposisi, manakala garisan intervensi yang terbentuk oleh batuan granit bertindak sebagai paksi utama bagi memberikan arah laluan yang tegas. Bagi memberikan nilai kejutan dan provokatif pada komposisi taman, tiang-tiang kayu berwarna merah jambu disusun selari dengan pepohon bunga raya. Ini juga memberikan watak dan pernyataan kontemporari. Cermin pada bahagian dinding pagaran dan ruang makan bukan saja memberikan kesan ilusi infiniti malah lebih daripada itu menghidupkan dimensi dan olahan ruang. Pohon bunga raya yang penuh berkarakter dengan ciri senibina yang menebal memenuhi pengolahan komposisi yang bertunjangkan nilai modernisma.




Pepohonan buluh yang melatari bahagian belakang kediaman pula seakan bidai yang menyaring dan membiaskan cahaya yang indah. Garisan menegak dahan-dahan buluh bertindak sebagai pagaran dan memberikan ilusi ketinggian. Pabila bayu bertiup, geseran dedaunan buluh menghasilkan desiran yang indah, laksana lagu alam yang tergubah…asyik dan terbuai… Lataran dinding berwarna merah jambu dibelakangnya memberikan nilai kontras pada dedahanan hijau buluh lalu membentuk komposisi yang indah dan menyerlah.





TIMBULAN 1(hadapan kutubkhanah)

Timbulan ini terhasil dari gabungan bentuk empat segi tepat yang diolah untuk menjadi satu susunan menegak yang melengkapi satu komposisi ruang antara kesidang dan kotak besi. Penggunaan warna jingga pada kotak tersebut bukan saja memberikan nilai kontras malah lebih daripada itu menyerlahkan ilusi 3 dimensi yang membentuk wataknya yang kuat. Perletakannya disebelah barat kutubkhanah menyaring cahaya mentari yang menerobos kedalam ruang. Cahaya yang tersaring oleh dedaunan kesidang membentuk corak pada bayangan dilantai granit. Indah dan mengasyikkan.





TIMBULAN 2 (hadapan ruang makan)

Timbulan ini adalah berpaksikan bentuk geometri yang asas iaitu empat segi sama dan empat segi tepat. Susunan yang menekankan garisan menegak dan melintang memberikan satu pernyataan struktur yang kukuh. Komposisi visualnya tampak lebih menarik bila lantunan warna bertenaga dilemparkan bagi memberi keseimbangan estetik juga menegaskan dimensi ruang. Setiap ruang pada bentuk komposisi diberikan nilai dan makna yang tersendiri. Pun begitu komponen ruang tersebut diolah bagi menghasilkan penyusunan yang menyatu. Jalinan warna-warna yang mempesona memberikan ekspresi tentang diri penghuni, bertenaga tapi melengkapi, provokatif tapi berilusi.





PAGAR

Lukisan abstrak Piet Mondrian menjadi inspirasi utama didalam penghasilan pintu pagar ini. Piet Mondrian adalah salah seorang pengasas gerakan De Stijl (juga dikenali sebagai neoplasticism). Pengaruh watak geometri yang kukuh diterjemahkan dalam bentuk pintu pagar berplanar 3 dimensi. Karya Piet Mondrian diberi ruang dan dimensi kedalaman untuk menghasilkan wajah planar yang lebih bertenaga. Komposisi pagar yang dibuat dari besi ini menggabungkan ketegasan struktur geeometri dan ilusi dimensi yang abstrak. Ilusi 3 dimensi juga kelihatan lebih menyerlah dengan gabungan tekstur dan warna yang berpadanan.



 




No comments:

Post a Comment