Sunday, June 23, 2013

Cahaya – Romantika Modernis Melayu


Pengenalan

Kala kaki melangkah
Bayu gemersik
Hati terusik
Cahaya menerjah
Dan indah terserlah

Terletak di Bandar Baru Bangi, ‘CAHAYA’, telah direkabentuk sebagai kediaman yang menggabungkan prinsip-prinsip modernis dengan roh dan jiwa senibina Melayu tradisi.   Rumah tersebut adalah luahan wacana budaya senibina Melayu sebagai sumber inspirasi dan juga dari ciri modernisma rumah prairie rekaan Frank Lloyd Wright. Warna modenisma putih pada rumah tersebut adalah kontra kepada senibina Melayu (yang menggunakan warna kayu sebagai warna asas), pun begitu, intepretasinya adalah gema dari kedua-dua ciri rekabentuk. Rekabentuk rupa hadapannya  agak istimewa, di serikan oleh tampalan dan tingkap yang tersendiri. Cahaya mentari dan bayu mencelahi ruang dalaman kediaman tersebut. Rumah ini menzahirkan sebuah senibina terkini yang berwatak moden secara luaran tetapi menyerlahkan dan mencetuskan keluhuran nilai senibina Melayu tradisi. Ianya adalah pernyataan senibina yang tulus.

 Ruang

Ruang dalamannya terdiri daripada jalinan ruang yang diasingkan bukan dengan pintu tetapi dengan rekaan sudut-sudut pandangan yang indah. Pabila kita melalui ruang dalaman tersebut, ianya akan menyerlahkan pandangan yang dramatik dan vista yang berubah: dimana-mana akan kedapatan elemen kejutan dan secara tiba-tiba, cahaya yang tidak disangka menyerlah dari satu sudut, imbasan landskap dan jalinan pengalaman yang pelbagai tetapi berkait rapat dengan ruang dalaman menjadikannya satu simfoni ruang dan cahaya. 







Pelan bangunannya adalah satu pernyataan jalinan ruang berbentuk H – pelan yang digunakan lewat Le Corbusier hingga kepada Frank Lloyd Wright, dimana mereka mendapat kepuasan penyelesaian yang istimewa terhadap penyusunan ruang pelbagai guna. Penyusunan ruang sebegini amat menarik kerana pintu masuk berhubung terus dengan ruang luaran menjadikan setiap ruangan boleh dimasuki dimana sahaja.

Udara dan cahaya mentari menyelinap kesetiap ruang, di saring oleh langsir yang terbuai oleh bayu. Kesannya walaupun dramatik tetapi amat menusuk dan tenang. Merangsang, sensasi dan menakjubkan. Ia adalah satu daya tarikan yang luhur dan ikhlas.  Rumah tersebut walaupun tidak begitu besar dari segi saiznya tetapi kewujudannya dirasai. Dan kesan pencahayaannya, yang semulajadi atau cahaya rekaan telah di gunakan secara bijak untuk menambah nilai bentuk dan isipadu kepada ruang dalamannya.


 Warna

“Putih sentiasa berkuasa dan positif.” Le Corbusier

“pada lataran putihlah seseorang akan dapat menghargai paduan cahaya dan bayang, nilai kepaduan dan kekosongan. Dengan cara ini, rona putih telah menajamkan pemerhatian dan meninggikan kekuatan bentuk visual.” Richard Meier

Untuk dinding dalaman, perekabentuk lebih cenderung untuk mewujudkan watak modernis. Putih, warna yang segar dan suci telah digunakan bagi keseluruhan dinding. Pastinya dinding putih tersebut di sensasikan dengan lukisan yang berwarna-warni, sofa berwarna merah dan perhiasan berwatak modernis. Tiada gambaran bahawa rumah ini terlalu mewah dan berlebihan. Semuanya diletakkan pada nilai dan tempatnya yang tersendiri. Kecenderungan tuan rumah terhadap warna dan bentuk telah memberikan beliau arah rekabentuk.

Untuk bahagian luaran, kebosanan warna putih telah dihidupkan dengan timbulan berwarna kelabu dan jingga. Kedua-dua warna ini menambahkan keindahan fasad, disamping sifat kontemporarinya yang menyegarkan dan bertenaga.

 Bentuk

Richard Meier percaya bahawa senibina adalah imbangan antara struktur dan seni yang diperbaharui setiap masa: bangunan adalah objek teknikal dan sebuah karya seni. Atas kepercayaan ini, arkitek rumah ini telah bermain dengan bentuk, menggunakan kecondongan dan kecuraman bumbung. Bumbung ‘pisang sesikat’ telah disusun dan diletakkan mengikut arah cahaya matahari dan keindahannya laksana sebuah arca. Timbulan berwarna kelabu dan jingga di susun di atas permukaan hadapan bangunan yang pastinya kelihatan agak muram tanpanya. Melihat dari pandangan hadapan, timbulan itu seperti satu kenangan kepada rumah Schroder*, ikon kepada gaya modernis.




Fasadnya adalah gabungan planar, garisan dan timbulan yang komponennya di susun secara grafik untuk membentuk sebuah susunan yang indah. Warna yang dipilih menambahkan dimensi pada fasadnya, permukaan putih, timbulan dalam warna kelabu dan jingga, kemasan kikisan pada bingkai tingkap dan pintu berwarna putih.  Tampak hadapan yang berkaca luas dan pencahayaan semulajadi yang menyinar menenggelami sempadan ruang luar dan dalam.





 Landskap

Alam semulajadi dibawa terus kedalam komposisi senibinanya. Pabila melangkah ke ruang tamunya, kita akan di sambut oleh keindahan rimbunan Calathea yang menggarisi dinding di bahagian anjung. Rumpun Heliconia ditanam di sepanjang bahagian dalam pagar, manakala serai pula ditanam dibahagian luar pagar. Garis-garis tegak pada dedaunan sansiviera menekankan komposisi tiga dimensi pada fasadnya. Garisan dedaunan yang saling menindih menjadi asas pada corak lantai di tempat meletak kereta dan anjung.




Senibina yang santun nukilan Frank Lloyd Wright adalah yang bergarisan mendatar, gambaran manusia yang bersatu dengan alam. Begitu juga dengan rumah ini dimana susunan senibinanya menekankan garisan mendatar berbanding menegak yang melambangkan kesatuan dengan alam dan bukannya penentangan terhadap alam.
                              
KESIMPULAN

Bukan kami mengelakkan gaya terdahulu kerana rupanya yang hodoh, atau kerana kami tidak mampu menghasilkannya kembali, tetapi kerana masa kami memerlukan bentuknya yang tersendiri dan gambaran yang tersendiri.”
Gerrit Rietveld.

Tuan rumah ini percaya bahawa senibina bukanlah satu gaya tetapi lebih merupakan keluhuran hakiki. Keluhuran pada jiwa, keluhuran pada kepercayaan, keluhuran pada roh dan sukma yang menghasilkan dan menterjemahkan unsur batiniah dalam bentuk tiga dimensi.

Rumah tersebut memberikan imbangan antara sandiwara dan kebijaksanaan, kemesraan dan ruang. Ianya agak sederhana tetapi memberangsangkan. Aneh tetapi menarik. Ianya adalah gabungan kepelbagaian nilai lama dan baru. Ianya moden tetapi agak konservatif. Hairaki ruang, gabungan dengan unsur alamiah, fasad yang hambar tetapi bertenaga, kesemuanya adalah serlahan keluhuran Melayu moden.

*Rumah Rietveld Schröder dibina pada tahun 1924 oleh seorang arkitek Belanda iaitu Gerrit Rietveld. Rumah ini adalah antara contoh terbaik gaya senibina modernis.

By Noor Azizi bin Mohd. Ali.



1 comment:

  1. Very good info from an experience person.. Keep it coming..:)

    ReplyDelete